Rahsia Nenek
“Nenek ni, nak tinggalkan rumah pun tak bagitahu dulu. Kalau lah tiba-tiba hujan. Basah semua hidaian di ampaian. Sudahlah jauh tempat cucian. Disuruh beli mesin cuci, tak mahu. Nak juga cuci di jeram…” Rungut Nuha sambil memilih satu persatu kain yang sudah kering.
Dada langit sudah bertukar rupa. Daripada terang sudah menjadi kelam. Bila-bila masa langit akan runtuh.
“Pssstttt… Pssstttt… Nuha… Hei Nuha…” Tiba-tiba belakang terasa perit kerana dilontar sesuatu. Nuha melilau mencari mana arah suara itu. Beberapa biji rambutan yang sudah tiada isi bertaburan ke tanah.
“Aku sini, dipucuk rambutan…” Suara itu masih kedengaran.
“Hey… Buat apa kau di situ? Pergi lekas, nanti nenek aku balik, disembelihnya kau dengan kacip pinang. Mampus kau disitu…” Jerit Nuha sambil mencari sesuatu untuk membalas semula.
Bisa balingan biji rambutan itu masih terasa. Mata Nuha terpandang putik kelapa yang bertaburan di tanah lalu di capainya sebiji lalu melemparkan sekuat hati…
“Yes..!!” Sorak Nuha keriangan apabila balingan itu terkena tepat di dahi dan dia yang dipanggil sebagai Hadi itu hilang bersama angin.
“Nuhaaa hari dah nak ribut. Naiiik… Jembalang hutan banyak diluar tu cuuu…” Laung nenek daripada atas beranda.
Nuha tidak hairan dengan keadaan nenek yang macam biskut chipmore itu. Sekejap ada sekejap tiada kerana Nuha sudah terbiasa. Pernah sekali Nuha bertanya kepada nenek agak lama dahulu.
“Macamana nenek masuk pintu kan sudah berkunci?”
“Ituuuu dari situ cu…” Jawab nenek sambil menunjukkan lubang sebesar buah kelapa di alang-alang rumah.
Awalnya agak hairan, bagaimana bisa nenek masuk di lubang sekecil itu? Lubang yang hanya telus kepala sahaja. Badannya bagaimana masuk? Namun pernah sekali Nuha melihat cara nenek masuk maka mengertilah dia dan perasaan hairan itu beransur hilang mengikut arus kedewasaan Nuha.
“Nek pergi mana? Kenapa tidak bagitahu Nuha. Nasib sempat angkat hidaian, kalau tidak? Kena cuci lagi…” Omel Nuha sambil meletakkan bakul kain yang baru diangkat itu ke lantai.
“Kak Tijah bersalin. Nenek pergi sambut orang baru…” Ujar nenek sambil mencedok air di tempayan untuk berwudhu.
“Zuhur sudah? Makan sudah? Kalau belum cepat zuhur dulu kemudian makan. Sebelum itu jangan lupa tolak tempayan ini ke bawah cucur air. Hujan dah turun tu. Nanti boleh buat mandi.” Soal dan arah nenek dalam satu masa.
“Zuhur sudah, makan belum… Tunggu nenek pulang…” Jawab Nuha sambil memerhati langkah nenek yang masih gagah itu menuju ke ruang solat.
Seperti biasa, akan ada suara perempuan menjerit kepanasan di pucuk pokok pinang.
“Saooodahhhh… Akuuu lapar…” Lali sudah Nuha dengan suara itu.
“Nenek dah ikat dia kat situ. Jangan kau pergi lepaskan pulak” Laung nenek dari tingkat atas sama seperti selalu.
-Bersambung-
(*1*)
Categorized in: